Thursday, February 3, 2011

Cara menyusukan bayi melalui botol bagi ibu yang menyusu badan..

Sering kali masalah ini merisaukan ibu yang akan kembali bekerja. Tetapi ketahuilah! Cabaran ini boleh diatasi jika anda mendapat bimbingan yang betul berkenaan cara untuk memberikan botol kepada bayi. Setiap perkara yang baru perlukan latihan dan dalam hal ini anda tidak terkecuali.

Menurut kajian pakar laktasi di Amerika Syarikat, masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan botol pertama kepada bayi adalah ketika dia berumur antara empat hingga enam minggu. Ini dapat memastikan penghasilan susu anda sudah pun stabil dan seterusnya dapat mengurangkan risiko bayi keliru puting. Menunggu terlalu lama sebelum memperkenalkan botol pertama kepada bayi boleh menyebabkan dia lebih gemar menyusu menerusi payu dara dan berkemungkinan menolak botol sama sekali.

Dalam pada itu, pastikan apabila bayi sudah boleh menerima botol, jangan pula ia dijadikan amalan. Gunakan botol hanya apabila anda terpaksa berpisah dengan bayi! Bila bersama bayi, anda perlu menyusukannya terus dari payu dara. Anda tidak seharusnya memberikan botol
sebagai satu tabiat harian jika anda tidak selalu berpisah dengan bayi kerana ia akan
mempengaruhi penghasilan susu. Walau bagaimanapun, untuk memastikan bahawa
bayi anda tidak lupa dan dapat terus menerima botol anda dinasihatkan untuk
memberikannya botol sekurang kurangnya satu atau dua kali dalam seminggu. Contohnya,
jika anda sedang bercuti panjang.

Anda juga dinasihatkan ntuk menggunakan puting yang alirannya perlahan supaya
walau berapa pun usianya, dia tetap harus berusaha apabila menyusu dari botol. Botol yang
mempunyai leher lebar (wide neck) dikatakan paling sesuai untuk bayi yang menyusu
badan. Antara tip yang dapat dikongsi ialah:

Gunakan puting jenis silikon dan bukannya lateks kerana bayi mungkin tidak suka pada rasa
atau baunya.

Seelok-eloknya alirkan air suam pada puting sebelum memberikannya kepada bayi.Pastikan susu tidak terlalu panas atau terlalu sejuk. Anda digalakkan untuk banyak bergerak apabila
memberikan botol kepada bayi. Ini dapat mengalihkan perhatiannya.

Posisi yang disyorkan apabila anda cuba untuk memberikannya botol adalah
menghalakan bayi ke hadapan dengan belakangnya di depan dada anda dan bukan posisi
cradle yang biasa.

Anda tidak seharusnya menyumbat puting ke dalam mulutnya, sebaliknya
membiarkannya menarik puting itu sendiri ke dalam mulutnya

Biasanya bayi akan lebih mudah menerima botol apabila mereka separa sedar. Contohnya, ketika baru bangun tidur atau hendak tidur.

Paling penting! Jangan memaksa bayi kerana ini akan menyebabkan dia menolak botol
sama sekali. Anda perlu banyak bersabar dan jangan berputus asa kerana ini memerlukan
banyak latihan. Sebagai panduan, jangan memberi botol lebih daripada 10 minit setiap
masa. Jika bayi marah dan menangis, anda harus berhenti dan cuba lagi di lain masa.

Ketahuilah! Jika bayi menolak botol sama sekali anda boleh menggunakan kaedah
lain seperti menggunakan sudu, cawan, picagari atau finger feeder (meletakkan tiub halus di
jari anda). Selamat mencuba!

1 comment:

  1. Alhamdulillah, bayi saya tak de masalah nak menyusu guna botol. Mungkin sebab faktor dia ada kakak yang masih menyusu botol. Setiap kali dia tengok susu botol kakak dia, mesti dia cepat-cepat je nak grab botol tu, then masuk dalam mulut. macam enjoy pulak dia. Padahal dia DF je.. hehee

    Saya lebih suka breastfeeding. :)
    - umminiena.wordpress.com

    ReplyDelete